Recent Articles

visit http://sasakworld.blogspot.com SELAMAT DATANG | BLOGER "SASAKWORLD" THE SASAK COMMUNITY | BERSAMA MENJADIKAN SUKU SASAK YANG MAJU DAN BERILMU | AJANG SILATUROHIM BAJANG SASAK DI DUNIA MAYA | BERTUKAR IDEA UNTUK PERLUAS PENGETAHUAN | PROMOSI | TUNJUKKAN PADA DUNIA | BUDAYA UNIK KITA | KERAMAHAN MASYARAKAT KITA | KEINDAHAN ALAM KITA |

Selasa, 10 Julai 2012

Berjalanlah kamu di atas muka bumi ini!



Dimensi dunia yang telah dibentangkan oleh Allah SWT ini begitu luas akan kelebarannya. Terlalu banyak penjuru yang belum disinggah, sempadan yang belum ditembusi, tanah untuk dipijakkan kaki, udara untuk dihembuskan dan permandangan untuk disantap oleh mata serta pengalaman untuk dirasai oleh memori. Begitu luas kurniaan Tuhan Yang Maha Mulia yang menebarkan kuasa-Nya untuk meluaskan dunia ini yang dikatakan orang, "tepian yang tiada berkesudahan dan sempadan yang tiada perhentian" agar hamba-Nya berfikir akan kehebatan Allah yang menegakkan langit tanpa tiang dan meluaskan dunia tanpa melalui ukuran pembaris dan alatan teknologi canggih.

Makanya, dengan nikmat permandangan yang luas ini yang telah dikurniakan oleh Tuhanmu, mengapa tidak untuk berjalan di atas muka bumi serta meneroka ke suatu lembah yang akan menyediakan hidangan yang menyelerakan untuk dikaut oleh memori? Keluarlah kalian daripada dunia katak bawah tempurung yang sentiasa menghimpit dirimu untuk meneroka dunia yang luas ini dan menebarkan lagi pemikiran serta pengalaman. Begitu banyak tempat yang disediakan untukmu oleh Allah. Persiapkanlah peta yang memandumu untuk menuju ke destinasi dan keperluan yang diperlukan untuk berangkat ke sana.

"Katakanlah : Berjalanlah di muka bumi, maka perhatikanlah bagaimana (Allah) memulai penciptaan (makhluk), kemudian Allah menjadikan kejadian yang akhir, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu". Surah al-'Ankabut (29) ayat 20.

Terokalah wahai saudaraku! Lalu perhatikanlah bagaimana Allah menegakkan gunung-gunang itu sebagai paku bumi yang akan menahan bumi dariapda tergelincir daripada landasan. Dan lihatlah akan kehebatan Tuhanmu Yang Maha Agung yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang telah layu sebelumnya setelahmana rezeki daripada langit membasahi bumi yang kering, serta keagungan Allah yang membina kehidupan sebuah kehidupan binatang dan serangga serta ikan-ikan yang berenang di lautan hinggalah ke sungai, di mana mereka hidup sentiasa berada dalam payungan keamanan tanpa sebarang pertempuran yang memusnahkan komuniti kehidupan mereka.

"Tidakkah mereka perhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaanya? Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?". Surah al-Ghashiyah (88) ayat 17-20.

Perhatikan dan teruskanlah perhatikan akan kehebatan yang telah Allah SWT paparkan padamu di setiap penjuru pancainderamu sehinggakan engkau diam membisu sambil takjub memerhatikannya! Lalu berdoalah pada Tuhanmu dengan penuh tawaddhuk dan ikhlas dari sebarang kesombongan, "....Wahai Tuhan kami! tiadalah Engkau menciptakan ini sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka". Surah Al-Imran (3) ayat 191. Teruskanlah berjalan biarpun perjalananmu itu tidak menemui penghujung jalan lalu perhatikanlah apa yang telah disediakan oleh Allah dengan kurniaan-Nya dan ambillah iktibar atas apa yang engkau teropongkan ke atas segala penciptaan-Nya yang terlampau hebat dari segala yang hebat. Jadikanlah ia sebagai santapan terhadap ilmu dengan menambahkan perisa pengalaman agar dirimu merasai kemanisan iman hasil masakan lauk pemikiranmu yang setiasa dicampuri dengan perasaan khusyuk dan tawadhuk serta ikhlas dalam menghayati apa yang telah dibentangkan oleh Tuhanmu di hadapan matamu!

"Katakanlah : Berjalanlah kamu di muka bumi, lalu perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang berdosa". Surah An-Naml (27) ayat 69.

"Katakanlah : Berjalanlah kamu di atas muka bumi, lalu perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang berdusta". Surah al-An'am (6) ayat 11.

"Dan apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka, sedangkan orang-orang itu adalah lebih besar kekuatannya dari mereka? Dan tiada sesuatu pun yang dapat melemahkan Allah baik di langit maupun di bumi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa". Surah Faatir (35) ayat 44.

"Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka? orang-orang itu adalah lebihkuat dari mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata. Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri". Surah Ar-Rum (30) ayat 9
"Katakanlah: Adakanlah perjalanan di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu. Kebanyakan dari mereka itu adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah)". Surah Ar-Rum (30) ayat 42.

"Maka apakah mereka tiada mengadakan perjalanan di muka bumi lalu memperhatikan betapa kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Adalah orang-orang yang sebelum mereka itu lebih hebat kekuatannya dan (lebih banyak) bekas-bekas mereka di muka bumi, maka apa yang mereka usahakan itu tidak dapat menolong mereka". Surah Ghafir (40) ayat 82.


"Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka; Allah telah menimpakan kebinasaan atas mereka dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu". Surah Muhammad (47) ayat 10.

Teruskanlah perjalananmu sambil mengayuh akan basikalmu dan perhatikanlah bagaimana Allah menghapuskan orang-orang yang melakukan kerosakan di atas muka bumi dan ingkar terhadap apa yang dialunkan segala wahyu daripada para rasul serta berpaling untuk merebahkan segala tubuh dan jiwa untuk bersama mereka yang rukuk dan sujud kepada Tuhan Yang Maha Esa yang telah menganugerahkan bermacam-macam kurniaan yang melebihi daripada apa yang mereka mahukan. Gapaikanlah teropongmu serta bulatkan ia ke suatu tanah yang telah diranapkan oleh Allah dengan pelbagai serangan. Lalu berfikirlah akan apa sebab keruntuhan akan sebuah tamadun lalu yang maju dalam setiap cabang sehingga diiktiraf sebuah negara yang akan menguasai segala penjuru dunia?

"Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap (kaum) 'Aad?. (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan yang tinggi. Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu di negeri-negeri yang lain. Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. Dan Firaun yang mempunyai pasak-pasak (bangunan yang tinggi dan besar)". Surah al-Fajar (89) ayat 6-10.

Perhatikanlah lalu berfikirlah atas dasar apa Tuhanmu Yang Maha Berkuasa menghapuskan mereka sehingga ranap segala pencakar langit yang teguh berdiri, menenggelamkan segala kekayaan sehingga ke peut bumi dan menyeksa penduduk-penduduk yang menetap di sana? Sambungan ayat daripada surah tersebut yakni ayat 11-13 :

"Yang berbuat sewenang-wenangnya dalam negeri. Lalu mereka banyak melakukan kerosakan di negeri itu. Kerana itu Tuhanmu menimpakan cemeti azab kepada mereka. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi".

Ambillah pelajaran wahai insan, sesungguhnya tiadalah bernilai akan sebuah tamadun yang dihiasi dengan bangunan tinggi yang berdiri dengan megah dan kemewahan yang menjauhi daripada kemiskinan apabila dirosakkan dengan penderhakaan terhadap pemberian Allah sehingga mereka terus tertipu dengan nikmat-Nya lalu Allah membinasakan mereka secara tiba-tiba tanpa mereka sedari. "Katakanlah : Apa pandangan kamu jika datang seksaan Allah kepadamu secara tiba-tiba atau terang-terangan, maka adakah yang dibinasakan (Allah) selain daripada orang yang zalim?". "Maka serahkanlah kepadaKu (urusannya) dan orang yang mendustakan ini (kebenaran daripada Allah), kelak Kami akan hukum mereka beransur-ansur dari arah yang mereka tidak ketahui". Surah al-Qalam (68) ayat 44.

Teruskanlah berjalan wahai saudaraku! Dan nikmatilah segala hidangan juadah yang telah disajikan oleh Allah SWT dan santaplah ia sehingga engkau kenyang lalu berharaplah pada Tuhanmu agar diberikan pengampunan yang membersihkan segala kekotoran dalam hati sehingga segala sifat-sifat mazmumah dapat dibentuk dalam setiap tindak-tandukmu.

"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada". Surah Al-Hajj (22) ayat 46.

Teruskanlah ekspedisimu dalam berjalan di atas muka bumi Allah! "Dan janganlah engkau berjalan di atas muka bumi ini dengan sombong, sesungguhnya engkau sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung". Surah al-Isra' (17) ayat 37. Jadikanlah tujuan perjalananmu itu untuk memerhatikan segala kebesaran Allah SWT yang telah Dia tunjukkan padamu dengna pelbagai bentuk sama ada yang engkau ketahui atau tidak dari setiap penjuru sekelilingmu, lalu telanlah iktibar itu agar ia meresap ke dalam hati yang ikhlas dan khusyuk dengan kehebatan-Nya. Apakah patut engkau berjalan dengan penuh megah yang merasakan seolah-oleh dunia telah pun menjadi milikmu serta engkau berada di atas kedudukan yang lebih mulia daripada maharaja yang menguasai seluruh negara?.

Ketahuilah bahawa sekali-kali engkau tidak mamu menerobos bumi ini melainkan Allah SWT yang memberikan kekuatan padamu! "Wahai golongan jin dan manusia! Jika kamu sanggup (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka tembuslah, kamu sekali-kali tidak mampu menembusinya kecuali dengan kekuatan (daripada Allah)". Surah ar-Rahman (55) ayat 33. Perjalananmu hanyalah suatu kesia-siaan yang meletihkan tubuh badanmu sahaja jikalau dirimu dipenuhi dengan keangkuhan dan sedikit pun tiada merasakan terpegun dengan hamparan-hamparan kekuasaan Allah SWT, padahal engkau berpijak di atas muka bumi yang dimiliki oleh-Nya! Maka apakah patut engkau menjadi orang yang sempit pemikirannya untuk mengaut sedikit sebanyak terhadap apa yang engkau perhatikan dan mengotori hatimu dengan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini?

Teruskanlah perjalananmu dengan berbekalkan hati yang sentiasa dilagukan akan al-Quran dan tubuh yang sentiasa dihiasi dengan sunnah Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW. Tepislah segala kejahatan dengan menghembuskan api-api yang membakar mereka sehingga rentung dan sumbatkanlah sisa itu ke dalam perut bumi!.

Berjalan, berjalan dan teruskanlah berjalan hinggalah ke suatu tempat yang belum engkau saksikan dengan matamu, mendengar dengan telingamu, dirasai dengan pengalamanmu dan terlintas di pemikiranmu walaupun ia jauh daripada tanah airmu yang tercinta dan jauh daripada mata yang memandang serta perjalanannya penuh dengan selok-belok yang belum engkau tempuhi. Lalu perhatikanlah dan pelajarilah ia agar engkau termasuk orang-orang yang beruntung. InsyaAllah.

0 ulasan:

Catat Ulasan